Makanan
Perancangan makanan yang sangat teliti kepada 7 pendaki amatlah penting kerana sedikit kelekaan pasti boleh menjejaskan kesihatan pendaki.
Untuk meningkatkan tahap kesihatan pendaki, pasukan Merdeka de’ Everest bukan sahaja mementingkan soal kelengkapan pakaian mahupun peralatan sahaja, malahan turut membawa tukang masak dari golongan Nepal ini yang menyediakan makanan di Base Camp ke Camp 1 dan Camp 2.
Kebiasaannya, makanan yang disediakan terdiri daripada makanan pemberi tenaga bagi memudahkan pendaki bergerak, mendaki dan tahan akan cuaca yang sejuk. Selain itu, makanan yang dipilih di tempat altitude tinggi adalah makanan yang berbentuk mudah hadam, senang dimasak dan pastinya mengenai citarasa pendaki. Selalunya makanan yang kaya dengan karbohidrat seperti nasi, nestum dan juga bubur. Makanan seperti daging adalah dielakkan.
Di Camp 1 dan Camp 2 pula, makanan yang disediakan adalah sama seperti di Base Camp iaitu nasi, sup sayur dan telur goreng manakala di Camp 3 dan Camp 4 pula, makanan berkarbohidrat yang memberi tenaga segera dipilih kerana mudah disediakan dan mudah dimasak terutamanya di masa-masa terhad. Pendaki juga turut disajikan dengan makanan-makanan segera, tetapi berkhasiat seperti kurma, kismis, roti, biskut, kek serta barangan dari Nestle seperti Milo dan PowerBar bagi membekalkan tenaga berpanjangan kepada pendaki.
Berlainan pula di Camp 4, iaitu di aras ketinggian melebihi 8,000m, pendaki kebiasaannya berjalan bersendirian dan tiada masa untuk memasak makanan. Oleh hal yang demikian, makanan yang dimakan adalah sekadar cukup untuk pendaki bergerak ke puncak yang nipis kandungan oksigennya. Makanan yang dipilih pula adalah seperti gula-gula, biskut dan juga barangan PowerBar seperti PowerBar Triple Threat, Performance Bar, PowerBar Gel dan juga minuman Recovery. Ini adalah bersesuaian kerana masa yang sangat terhad dan cuaca yang ekstrim sejuk apabila berada di aras ketinggian ini.
Ubat-ubatan
Dari aspek kesihatan pendaki, pihak perubatan yang diketuai Dr. Anuar Suun dan dibantu oleh saudara Hosni selaku serta tiga lagi pembantu penyelidik yang terdiri daripada Adam, Abak dan Aie telah menyediakan ubat-ubatan yang sesuai untuk dibawa naik ke Camp 1 hinggalah ke Puncak Everest.
Antara ubat-ubatan yang disenaraikan adalah seperti ubat pening kepala, sakit tekak, ubat batuk, sakit perut, ubat cirit-birit, ubat sakit mata serta beberapa ubat penting khusus untuk dibawa di aras ketinggian melebihi 8,000m. Ubat-ubatan ini telah disediakan dalam 4 bungkusan bertujuan untuk persediaan awal atau kecemasan kerana pendaki berkemungkinan tidak bergerak dalam masa yang serentak.
Di dalam memantau kesihatan pendaki, kesihatan Sherpa-Sherpa juga tidak dilupakan. Setiap botol ubat-ubatan dilabel dengan jenis dan nama ubat serta aturan kegunaannya. Kuantiti ubat yang disediakan juga adalah mencukupi sepanjang tempoh 5 hingga 7 hari bermula dari Camp 1 hinggalah ke Puncak Everest dan balik semula ke Everest Base Camp.
Pada masa kecemasan pula, contohnya apabila berlaku masalah kesihatan yang serius, pendaki-pendaki mahupun Sherpa-Sherpa bolehlah menghubungi urusetia di Base Camp melalui walkie-talkie ataupun telefon satelit yang disediakan khas oleh Celcom untuk kesenangan berhubung.
Bermula dari Base Camp lagi, kesihatan pendaki-pendaki utama telah dipantau setiap hari manakala bagi pendaki sokongan pula, ia dibuat dua kali dalam seminggu. Pemeriksaan kesihatan seperti kandungan oksigen tekanan darah dan berat badan diambil dari semasa ke semasa.
Laporan hasil temuramah bersama Dr. Anuar Suun
oleh Roslizawati Rasidi (Jaja) |